‘Habislah kena kecam dengan Makcik Bawang’ – 2 janda beradik ditangkap khalwat di hotel bajet

85
0
SHARE

Dua beradik ibu tunggal ditahan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) kerana berkhalwat di sebuah hotel bajet di Changlun, tengah malam semalam, lapor Harian Metro.

Kedua-duanya yang masing-masing berusia 29 dan 33 tahun itu ditahan bersama pasangan masing-masing antara jam 12.15 dan 12.30 malam oleh anggota PADKP yang melakukan operasi hasil maklumat awam.

Ketua Operasi PADKP, Azwan Azman berkata, pemeriksaan di sebuah bilik di hotel tersebut bersama tujuh anggotanya mendapati bilik itu bertutup dan berkunci dari dalam. Selepas mengetuk pintu bilik hampir 10 minit, seorang lelaki berpakaian lengkap membuka pintu dan terkejut melihat kehadiran anggota penguat kuasa.

“Lelaki itu membenarkan kami masuk ke dalam bilik untuk membuat pemeriksaan lanjut dan menemui seorang wanita yang berpakaian lengkap dalam bilik berkenaan.

“Hasil soal siasat mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri, malah wanita berusia 33 tahun itu mendakwa dia berstatus janda,” katanya.

Pemeriksaan di bilik kedua pula mendapati satu lagi pasangan bukan mahram menyewa di situ dan lelaki di dalam bilik tersebut ditemui hanya bertuala, manakala pasangannya lengkap berpakaian.

Siasatan lanjut mendapati nama bapa yang tertera pada MyKad dua wanita yang ditahan itu adalah sama dan selepas disoal siasat, kedua-duanya mengaku adik-beradik.

“Wanita di bilik kedua itu juga mengaku ibu tunggal dan pasangan mereka masing-masing berusia 37 dan 29 tahun itu juga adalah rakan sekampung,” katanya.

Difahamkan, dua pasangan berkenaan menyewa bilik di hotel bajet itu semenjak dua hari yang lalu sebelum diserbu dan ditahan. Kedua-dua lelaki terbabit hanya bekerja kampung, manakala pasangan mereka memiliki seorang dan dua orang anak.

Keempat-empat individu itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat PADKP untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana berdua-duaan sehingga mendatangkan syak tanpa ikatan sah suami isteri.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 setiap seorang atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

SHARE